ELAK DARI MENJADI PENYUMBANG PEMANASAN GLOBAL

“Protokol Kyoto telah dirundingkan dalam tahun 1997 bertujuan untuk memaksa negara industri untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan pencemaran udara yang memburukkan kesan rumah hijau. Hasil dari keputusan Russia untuk menyertai protokol ini, usaha ini ada peluang untuk membawa hasil. Tetapi, tanpa penyertaan Amerika Syarikat, yang buat masa ini merupakan pencemar udara terbesar di dunia, hasil usaha dari protokol ini agak terhad. Perjanjian ini tidak mampu untuk melambatkan pemanasan global dengan berkesan. Oleh yang demikian, bencana yang amat dahsyat masih mengancam.”

PEMANASAN GLOBAL

Secara umumnya suhu purata bumi tidak begitu stabil, malah berubah mengikut masa, seperti yang telah dibuktikan melalui analisis lapisan geologi. Planet kita adalah beberapa puluh darjah lebih sejuk pada 20,000 tahun yang lepas, iaitu pada puncak zaman salji glasier.

Sejak hujung kurun ke-19, suhu purata telah naik 0.6 darjah. Simulasi komputer pula menunjukkan bahawa pemanasan akan menjadi lebih cepat dan suhu purata boleh meningkat sebanyak 1.4 hingga 5.8 darjah pada hujung kurun ke-21. Fenomena ini kita panggil pemanasan global.

Pemanasan global adalah proses peningkatan suhu yang tinggi berbanding suhu normal berpunca dari aktiviti manusia seperti penebangan hutan, kegiatan perkilangan dan industri, permotoran, penerokaan hutan, pembangunan ‘hutan batu’ dan pengautan khazanah-khazanah alam sama ada di atas atau di dalam perut bumi.

Pemanasan global juga dikatakan kesan dari nipisnya lapisan ozon yang diakibatkan oleh pelepasan gas klorofluorokarbon (CFC). Kesan pemanasan global adalah punca kepada kejadian kemarau dan jerebu berterusan, kejadian pulau haba dan kesan rumah hijau.

Rumah Hijau - Kesan rumah hijau terjadi kerana berlakunya peningkatan pelepasan gas seperti karbon dioksida, nitrogen monoksida dan metana ke atmosfera seperti pembebasan CFC.

Pulau Haba – berlaku apabila pelepasan haba di kawasan membangun khususnya di bandar-bandar yang mempunyai terlalu banyak bangunan dan yang tersekat oleh bangunan-bangunan pencakar langit. Haba yang tidak dapat dilepaskan ke atmosfera itu akan membahangi kawasan sekitar.

Bahang pemanasan global telah mengganggu sistem cuaca dan iklim seperti peningkatan kejadian ribut taufan ganas seperti Taufan Katrina, Taufan Rita dan Taufan Wilma dalam satu musim, ribut taufan di Asia, turunnya salji di kawasan gurun benua Afrika, kepanasan melampau dan kemungkinan terhapusnya lebih dari satu juta spesies hidupan di darat dalam jangka masa 50 tahun.

Kesan Rumah Hijau
Variasi suhu atmosfera secara umumnya berkaitan dengan beberapa faktor seperti perubahan aktiviti matahari, atau kelajuan putaran bumi. Tetapi, kebanyakan pakar-pakar sains percaya bahawa pemanasan global adalah disebabkan, terutamanya, oleh kesan rumah hijau. Kesan ini terjadi apabila sebahagian besar tenaga dari matahari yang sampai ke permukaan bumi tidak dipantulkan semula keluar ke angkasa lepas, malah diserapi oleh atmosfera kita.
Menurut hukum Wien, sifat sinaran dari satu objek bergantung kepada suhunya. Matahari yang mempunyai suhu permukaan 6,000 darjah, bersinar terutamanya di dalam gelombang tampak di mana tenaganya masuk secara mudahnya ke atmosfera kita. Tetapi, disebabkan suhu bumi jauh lebih rendah dari suhu matahari, planet kita mengeluarkan kembali tenaga ini dalam bentuk sinaran inframerah. Gas-gas tertentu seperti karbon-dioksida, metana dan nitrogen oksida, yang juga lut sinar dalam gelombang tampak, adalah legap dalam sinaran inframerah. Ciri-ciri mereka ini menghalang tenaga dari keluar semula ke angkasa lepas. Mereka menyerap tenaga tersebut menjadikan atmosfera kita panas. Sebahagian besar tenaga solar ini diserap oleh atmosfera bawahan,seperti yang terjadi ke atas planet Zuhrah.
Besar kemungkinan kesan rumah hijau dan pemanasan global ini, yang mencepat sejak kurun ke-19, berpunca dari kesan aktiviti manusia ke atas alam sekitar. Kebanyakan gas yang mempunyai ciri-ciri kesan rumah hijau telah dilepaskan ke atmosfera melalui aktiviti-aktiviti moden yang menggunakan fosil fuel di dalam industri dan kenderaan.

Ancaman Dari Klorofluorokarbon (CFC)
Ancaman yang diketahui terhadap keseimbangan ozon adalah pengenalan klorofluorokarbon (CFC) buatan manusia yang meningkatkan kadar penyingkiran ozon menyebabkan kemerosotan beransur-ansur dalam paras ozon global.
CFC digunakan oleh masyarakat moden dengan cara yang tidak terkira banyak; dalam peti sejuk, bahan dorong dalam penyembur, pembuatan busa dan bahan pelarut terutamanya bagi kilang-kilang elektronik.
Hayat bagi CFC bermaksud bahawa satu molekul yang dibebaskan hari ini boleh wujud 50 hingga 100 tahun dalam atmosfera sebelum dihapuskan. Bagi tempoh kira-kira 5 tahun, CFC bergerak naik dengan perlahan ke dalam stratosfera (10–50km). Di atas lapisan ozon utama, pertengahan julat ketinggian 20–25km, kurang UV diserap oleh ozon. Molekul CFC terurai setelah bertindak balas dengan UV, dan membebaskan atom klorin. Atom klorin ini berupaya untuk memusnahkan ozon.

Pemanasan Global Jejas Kesihatan
Aktiviti pemanasan global meningkatkan suhu bumi hingga boleh menjejaskan kesihatan manusia. Menurut kajian yang dilakukan oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan iklim yang telah terjadi sejak tahun 1970-an telah menyebabkan 150,000 kematian setahun akibat peningkatan kejadian penyakit.
Jangkitan virus, bakteria dan kuman pembawa penyakit dikatakan akan semakin berleluasa. Jika dahulu, penyakit influenza hanya akan menyerang ketika di musim dingin (di negara empat musim) atau di musim hujan (di negara iklim tropika), tetapi kini sudah mula menyerang tidak mengira musim lagi.

Beberapa jenis penyakit yang dipengaruhi perubahan cuaca dan fenomena pemanasan global antaranya seperti di bawah berikut:

1. Cirit birit
Perubahan iklim yang berkaitan dengan pola hujan mempengaruhi penyebaran berbagai mikro organisma penyebar penyakit. Hujan mencemari air dengan cara memindahkan kotoran manusia dan haiwan ke air tanah. Antara organisma yang dikaitkan dengan penyakit cirit-birit adalah Kriptosporodium, Giardia dan E.Coli. Walaupun begitu, penularan penyakit ini bukan hanya disebabkan olah organisma-organisma yang disebutkan sahaja, ia juga boleh berlaku akibat kontaminasi air dan sebagainya.
Apa yang boleh anda lakukan ialah;
 Biasakan mencuci tangan dan kaki setiap kali anda pulang ke rumah. Ini kerana anda berkemungkinan terkena kotoran atau kuman sepanjang anda berada di luar rumah.
 Tempatkan alas kaki di pintu depan atau bahagian dapur rumah bagi mencegah penyebaran kotoran atau parasit yang boleh masuk melalui kulit.
 Elakkan tabiat membeli makanan di tempat yang kotor atau diketahui tahap kebersihan yang rendah.

2.Demam Denggi Berdarah dan Malaria
Udara lembap dan hangat menjadi habitat yang paling digemari nyamuk, terutama nyamuk jenis Anopheles dan Aedes Aegypti. Nyamuk jenis ini merupakan penyebar parasit malaria dan virus denggi. Jika dulu nyamuk ini kerap muncul ketika transisi musim hujan dan kemarau, tetapi kini serangannya boleh dikatakan berlaku hampir di kesemua musim sepanjang tahun. Suhu lebih panas ternyata memendekkan kitaran hidup nyamuk-nyamuk ini sekali gus mengurangkan tempoh matang kuman yang terdapat di dalam badan nyamuk. Akibatnya, populasi nyamuk tersebut meningkat dan penularannya semakin cepat.Apa yang boleh lakukan untuk mencegah gigitan nyamuk;
 Tidur dalam kelambu
 Sapukan krim pencegah gigitan nyamuk.
 Sembur ruangan kediaman anda dengan semburan nyamuk satu jam sebelum masuk tidur.
 Untuk membanteras sarang nyamuk:
 Bersihkan bekas-bekas yang memudahkan air bertakung
 Bersihkan semak belukar di sekitar rumah.
 Pelihara ikan untuk membunuh larva nyamuk.
 Taburkan ubat khas yang mampu membunuh larva nyamuk di dalam bekas seperti pasu bunga, kolam ikan, kolam air dan sebagainya.
 Pastikan tiada kain yang bergantungan di rumah.

3. Kanser Kulit
Gas rumah kaca yang terkumpul di atmosfera bumi menyumbangkan peningkatan pemanasan global dan seterusnya merosakkan lapisan ozon. Jika dalam keadaan normal, atmosfera bumi boleh menahan 95% radiasi ultra lembayung matahari dan hanya 5% daripada sinaran tersebut yang masuk ke bumi, tetapi kini lapisan tersebut sudah tidak mampu untuk menahannya, terutama di sekitar kawasan kutub selatan.Keadaan ini seterusnya menyebabkan penduduk di kawasan itu terdedah kepada penyakit kanser kulit. Walaupun begitu, ia tidak bermaksud bahawa kita di sini bebas untuk terdedah di bawah sinaran matahari tanpa sebarang pelindung. Apa yang boleh kita lakukan ialah;
 menyapukan krim atau losen pelindung matahari 20 minit sebelum anda keluar dari rumah. Sebaik-baiknya yang mempunyai SPF 15 atau lebih. Sebaik-baiknya, sapukan juga krim tersebut pada kedua telinga dan kaki anda. Jika anda rasakan anda akan berada di bawah sinaran matahari untuk tempoh waktu yang panjang, pilihlah losen yang mempunyai SPF 30 atau lebih. Ia lebih berkesan menahan sinaran matahari yang berbahaya kepada kulit anda.

4. Penyakit Paru Obstruktif Kronik
Rata-rata kenaikan suhu udara global hanya 0.8o Celsius. Namun di beberapa tempat, suhu udara naik cukup tinggi, termasuklah suhu air laut hingga ada ketikanya membuatkan sesetengah tempat bertekanan rendah. Angin kencang mudah terbentuk ketika ini. Tiupan angin kencang yang bercampur dengan udara kering boleh membentuk percikan api sehingga akhirnya mengakibatkan kebakaran hutan. Akibatnya, timbul asap tebal yang memenuhi ruangan udara. Debu halus dan pelbagai oksida karbon itu menyebabkan gangguan pernafasan seperti asma dan lebih teruk lagi boleh menyebabkan penyakit paru obstruktif kronik. Selain itu, asap tersebut juga membawa racun dioksin yang boleh menimbulkan kanser paru-paru dan gangguan kehamilan. Sebaliknya bahan kayu yang terbakar di hutan pula menghasilkan jutaan gas-gas rumah kaca yang akhirnya pemanasan global. Apa yang boleh anda lakukan ialah,
Jika anda sudah mengalami penyakit paru obstruktif kronik, elakkan daripada anda mengidap influenza atau pneumonia, yang boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan anda. Sebaiknya lakukan vaksinasi influenza setiap tahun dan vaksinasi pneumokokus setiap enam tahun atau lebih.

Cara Mudah Mengurangkan Kesan Pemanasan Global

• Beli dan makan bahan makanan tempatan. Bahan makanan import lazimnya mahal kerana terpaksa menampung kos pengangkutan yang menggunakan jumlah bahan bakar yang banyak.
• Patuhi jadual penyelenggaraan berkala kenderaan bermotor seperti yang dicadangkan oleh pengeluar/pengedar atau mekanik tempatan anda. Kenderaan yang di selenggara baik mengurangkan pencemaran udara.
• Mulakan langkah untuk tidak memandu kenderaan bermotor untuk perjalanan dalam bandar. Gunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
• Kurangkan penggunaan tenaga yang berlebihan. Sekiranya tidak perlu, elakkan dari menggunakan tenaga. Penggunaan elektrik yang tidak cekap, bijak dan produktif akan membazirkan sumber-sumber seperti minyak, gas, arang batu dan lain-lain yang digunakan untuk menghasilkannya.
• Gantikan penggunaan mentol lampu incandescent dengan mentol lampu fluorescent yang bukan sahaja mengeluarkan jumlah cahaya yang sama tetapi menggunakan satu pertiga kuasa elektrik.
• Sokong penggunaan bahan tenaga mesra alam dan yang boleh diperbaharui (renewable) seperti kuasa solar, air dan angin.
• Hapuskan pembakaran terbuka. Setiap pembakaran yang dilakukan hendaklah di selenggara dengan baik dan terkawal. Sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa bagi mengetahui kesesuaian jika ingin melakukan pembakaran.
• Beli dan gunakan peralatan elektrik yang mesra alam.
• Tanam pokok dan selamatkan hutan kita. Pokok-pokok ‘menyerap’ karbon dioksida dan secara tidak langsung akan dapat menyeimbangkan ekosistem.
• Amalkan budaya kitar semula. Kitar semula timbunan surat khabar setinggi 4 kaki boleh menyelamatkan sebatang pokok bersaiz biasa.
• Sokong dan sebarkan usaha-usaha yang boleh membantu mengurangkan pemanasan global seperti kurang menggunakan pembungkus plastik.

Kesan Dari Pemanasan Global
1. Glasier mencair dan tahap air laut meningkat sebanyak beberapa puluh sentimeter. Ketebalan ais di kutub juga menjadi kurang.
2. Peningkatan tahap air laut dan perubahan cuaca secara ekstrim yang melibatkan kemarau dan kitaran presipitasi yang dahsyat.
3. Kekerapan berlaku banjir, kemarau panjang, kekurangan air minuman, sebaran penyakit malaria, kekurangan zon tepi laut atau kekurangan bilangan pulau.

Comments

Popular posts from this blog

Tunku Abdul Rahman speech at the 1st Muslim Summit 1969

RUKUN NEGARA (ENGLISH)

Bersedia untuk gempa bumi