Bersedia hadapi Tsunami

Tsunami adalah satu perkataan jepun yang bermaksud ‘ombak laut pelabuhan’. Tsunami merupakan ombak besar yang disebabkan oleh kejadian gempa bumi yang terjadi di dasar laut. Tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan dan juga hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami. Ombak ini bergerak dengan laju beberapa ratus kilometer sejam dan dalam perjalanannya akan menaikkan dan menurunkan paras air laut.

Dalam lautan yang dalam, gelombang tsunami mempunyai amplitud ketinggiannya hanya beberapa sentimeter atau kurang sahaja. Oleh kerana jarak dari puncak ke puncak adalah ratusan batu, pergerakan turun naik tidak dapat dilihat dan dirasai oleh kapal yang belayar di atasnya dan mungkin tidak menyedari kejadiannya. Apabila gelombang tsunami tiba di kawasan lautan yang kedalamannya makin mengurang, halajunya akan turut menjadi kurang. Apabila gelombang ini sampai ke kawasan pantai, hanya satu cara untuk mengabadikan tenaganya adalah dengan menambahkan ketinggian ombak. Tsunami boleh menyebabkan kematian dan kemusnahan harta benda.

Bagaimana gempa bumi boleh menghasilkan tsunami?
Gempa bumi merupakan salah satu sebab utama yang biasanya menghasilkan tsunami. Tsunami akan terhasil apabila dasar lautan dengan tiba-tiba berubah kedudukan yang akan menyebabkan air berkocak kuat. Gempa bumi tektonik adalah gempa bumi yang biasanya akan menyebabkan kecacatan atau perubahan pada kerak bumi; apabila gempa bumi terjadi di dasar lautan, air yang berada di kawasan kejadian akan berubah dari kedudukan keseimbangannya. Gelombang akan terhasil dari perubahan jisim air, yang bertindak di bawah pengaruh graviti yang cuba untuk mengembalikan keseimbangan kedudukannya. Apabila kawasan dasar laut yang berubah kedudukan (terangkat atau turun) adalah luas, tsunami akan terhasil. Gelombang yang terhasil dapat bergerak dengan pantas.

Kelajuan tsunami

Kelajuan gelombang tsunami boleh mencapai kelajuan sebuah jet iaitu melebihi 800 km/j. Ia boleh menyeberangi lautan Pasifik dalam masa satu hari sahaja. Kelajuan ini akan menyebabkan kemusnahan yang dahsyat apabila tiba di kawasan pantai.

Tsunami - apa yang perlu anda lakukan

• jika anda berada di rumah dan mendengar amaran tsunami, pastikan semua ahli keluarga tahu tentang amaran tersebut. Pastikan semua ahli keluarga mengosongkan rumah dan bergerak ke kawasan tinggi sekiranya rumah berada di dalam kawasan amaran tsunami.
• jika anda berada berhampiran laut dan merasai gegaran gempa bumi, bergerak dengan segera ke kawasan yang tinggi.
• jika berada di lautan, jangan pulang ke pelabuhan di mana amaran tsunami dikeluarkan. Tsunami akan menjadi lebih kuat ketika berada di kawasan yang lebih cetek.

Langkah-langkah keselamatan tsunami
• Tidak semua gempa bumi mengakibatkan tsunami, tetapi kebanyakannya adalah berpotensi menghasilkan gelombang ini. Apabila anda mengetahui gempa bumi telah berlaku, bersedialah untuk menerima amaran tsunami.
• Jangan terus berada di kawasan rendah di tepi pantai apabila terasa gegaran gempa bumi yang kuat. Bergeraklah menuju ke kawasan yang tinggi dan selamat.
• Tsunami merupakan satu siri gelombang. Teruskan berada di kawasan yang tinggi sehingga pihak-pihak bertanggungjawab mengumumkan keadaan benar-benar telah selamat.
• Gelombang tsunami yang kecil pada suatu kawasan pantai mungkin boleh menjadi sangat besar beberapa meter sahaja darinya. Jangan ambil mudah pada gelombang tsunami yang kecil pada mulanya.
• Kehadiran tsunami biasanya didahului dengan air laut yang surut dengan tiba-tiba. Ini adalah tanda-tanda semula jadi terhadap kehadiran tsunami dan perlu diambil perhatian oleh orang ramai.
• Semua amaran tsunami yang dikeluarkan perlu diambil serius oleh orang ramai. Tsunami yang berlaku pada Mei 1960 di Hilo, Hawaii contohnya telah mengakibatkan kematian seramai 61 orang kerana orang ramai menganggap amaran yang dikeluarkan hanyalah satu kesilapan.
• Semua tsunami berpotensi untuk menjadi berbahaya walaupun mungkin tidak memusnahkan semua kawasan yang dilaluinya.
• Jangan sesekali pergi ke tepi pantai untuk melihat gelombang tsunami. Apabila gelombang tsunami dilihat, anda sudah terlalu dekatnya dan sukar untuk menyelamatkan diri darinya.
• Semasa berlakunya keadaan cemas akibat tsunami, pihak Kerajaan, Polis dan badan-badan kecemasan yang lain sedang cuba untuk menyelamatkan nyawa anda. Berikan sepenuh kerjasama kepada mereka.

Comments

Popular posts from this blog

RUKUN NEGARA (ENGLISH)

Bersedia untuk gempa bumi

The Complete List of Emulsifier Codes (part 2)