PERTUBUHAN PERSIDANGAN ISLAM (O.I.C)

Bersatu | Maju | Aman

Pertubuhan Persidangan Islam atau Organizations of the Islamic Conference (OIC) merupakan pertubuhan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). OIC ditubuhkan pada 25 September 1969 di Rabat, Maghribi hasil keputusan Persidangan Kemuncak Pertama 25 pemimpin negara-negara Islam yang bertemu bagi membincangkan strategi ummah berikutan pembakaran Masjidil Al-Aqsa (kiblat pertama umat Islam) pada 21 Ogos 1969 oleh Israel yang menceroboh negara Palestin sejak 1967. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama mewakili Malaysia ke persidangan ini.

Pada Persidangan Pertama ini, selain berjaya membentuk sebuah pertubuhan Islam, para pemimpin Negara anggota turut menggariskan matlamat seperti yang terkandung dalam Piagam Pertubuhan iaitu meningkatkan perpaduan dalam kalangan negara anggota; bekerjasama di dalam bidang politik, ekonomi, sosial, kebudayaan dan sains; serta mempertahankan kehormatan, kemerdekaan dan hak umat Islam.

Piagam OIC turut meletakkan beberapa prinsip bagi mengawal kegiatan-kegiatan pertubuhan antaranya : Kesaksamaan di kalangan negara-negara anggota, menghormati hak kebebasan dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota.

Semasa Sidang Kemuncak Islam ke-11 di Dakar, Senegal pada 14 Mac 2008, Piagam OIC ini telah dipinda. Penetapan Piagam baru OIC antaranya untuk menegakkan perpaduan dalam Islam, mengambil tindakan bersama, menjaga keamanan dan keadilan antarabangsa, membentuk hubungan harmoni antara agama, memperjuang keadilan hak asasi manusia, membentuk negara anggota yang mempunyai pentadbiran yang baik demi perkembangan ekonomi dan sosialnya.

Keanggotaan OIC telah berkembang kepada 57 anggota sejak penubuhannya. Kini OIC menjadi badan yang bersatu dan aktif mewakili 1.57 bilion umat Islam di dunia yang menegakkan perjuangan Islam. Antara perjuangan OIC ialah isu pembebasan Palestin, Iran, Iraq, Jordan, Selatan Thai, Selatan Filipina dan terkini ialah isu masyarakat Uyghur di Xinjiang, China.

Matlamat dan dasar utama OIC kini adalah untuk menaik taraf sosio-ekonomi negara-negara anggotanya. Sidang Kemuncak Khas Ke-3 di Mekah, Arab Saudi pada 7 Disember 2005 telah mengubal Program Tindakan 10 Tahun (Ten-Year Program of Action) bermatlamat meningkatkan kerjasama dan menggalakkan toleransi serta membentuk semula kerjasama terutamanya dalam bidang sains dan teknologi, pendidikan dan perdagangan. Turut dititikberatkan ialah pentadbiran kerajaan yang baik dalam kalangan negara anggota dan keadilan hak asasi terutamanya kepada kanak-kanak, wanita dan orang tua serta memupuk nilai-nilai kekeluargaan Islam.

Program ini juga bertujuan membolehkan negara-negara Islam menghadapi cabaran persaingan abad ke-21 dan mengambil kesempatan daripada proses globalisasi yang berlaku.

OIC turut berperanan memberi pemahaman dan menegakkan kebenaran Islam terutamanya apabila wujudnya apa yang dikenali sebagai Islamophobia berikutan peristiwa 11 September 2001 di Amerika Syarikat. Salah tanggapan dan mengaitkan Islam dengan keganasan terutamanya dalam kalangan negara Barat telah melebarkan jurang perbezaan pendapat antara Barat dengan negara Islam. Lantaran itu, OIC mengambil pelbagai inisiatif mengadakan seminar dan dialog antara budaya dan agama untuk merapatkan jurang pendapat dan sekali gus menjalin hubungan ekonomi dan sosial demi kebaikan sejagat.

Kini, OIC telah menjangkau 40 tahun (2009). Pelbagai inisiatif dan pendekatan telah diambil untuk meningkatkan dan memperkemaskan kerjasama dan hubungan antara negara anggota dalam pelbagai bidang, bagi mengembalikan zaman kegemilangan umat Islam seperti pada zaman Rasulullahlah (S.A.W) dahulu.

Untuk bahan/info sila layari www.penerangan.gov.my (click on 'e-book', select 'info: penggerak minda rakyat', click 'pertubuhan persidangan Islam OIC' for download...)




Comments

Popular posts from this blog

RUKUN NEGARA (ENGLISH)

Bersedia untuk gempa bumi

The Complete List of Emulsifier Codes (part 2)