Ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad, 23 Ogos 2002

"Jadi apa itu dilema baru Melayu? Dilema lama ialah sama ada mereka patut menukar sedikit gambaran untuk membantu diri sendiri. Dilema barunya pula ialah sama ada mereka perlu atau tidak membuang tongkat yang telah terbiasa mereka gunakan, yang sudah menjadi kebanggaan mereka".

DILEMA BARU MELAYU

Orang Melayu adalah antara beberapa kaum di dunia ini yang ditaktifkan dengan jelas oleh undang-undang. Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa orang Melayu itu ialah mereka yang bertutur bahasa Melayu, menganut agama Islama dan mengamalkan adat resam Melayu. Takrifan itu tidak langsung menyebut tentang apa itu adat resam Melayu. Oleh itu, perubahan budaya tidak menjadikan seorang Melayu itu bukan Melayu.

Budaya

Budaya merupakan sistem nilai yang secara umumnya diterima walaupun mungkin tidak diamalkan oleh sesebuah masyarakat atau sesuatu kaum. Pemerhatian menunjukkan bahawa budaya sesebuah masyarakat itu menentukan sama ada ia berjaya atau gagal. Bangsa atau kaum, warna kulit atau tempat tinggal baik di kawasan yang cuacanya sederhana atau beriklim tropika, bukanlah faktor-faktor yang menentukan prestasi sesuatu msyarakat.

Oleh itu, ada orang Eropah yang gagal membangun walaupun secara umumnya bangsa Eropah dianggap berjaya dan maju. Seseorang tidak harus lupa bahawa ketika Zaman Pertengahan, orang Eropah jauh ketinggalan dibandingkan dengan orang Islam Arab yang membina Tamadun Agung Islam. Begitu juga, banyak kaum di Asia yang telah berjaya pada masa dulu dan juga sekarang, manakala sesetengahnya terus mundur dan primitif.

Malah orang Afrika juga pernah berjaya seperti orang Habsyi walaupun kebanyakkan mereka gagal membangun.

Faktor Bangsa atau Kaum?

Orang Eropah, Asia, Afrika dan orang Amerindia semuanya boleh berjaya dan boleh juga gagal. Oleh itu, bukan faktor bangsa atau kaum yang menentukan kejayaan tetapi budaya. Bangsa Eropah yang paling agung dalam sejarah ialah Portugis dan Sepanyol. Hari ini mereka ketinggalan berbanding bangsa Eropah yang lain. Seperti yang saya katakan tadi, bukan bangsa atau kaum tetapi budaya yang menentukan prestasi sesuatu kaum atau masyarakat iaitu sistem nilai yang mereka yakini dan pegang pada sesuatu masa.

Semasa saya menulis buku Dilema Melayu pada akhir tahun 1960-an, saya membuat andaian bahawa semua orang Melayu tidak mendapat peluang untuk membangun dan berjaya. Mereka kurang peluang untuk membangun dan berjaya. Mereka kurang peluang untuk mendidik diri sendiri, peluang untuk berlatih dalam bidang yang diperlukan, peluang untuk mendapat dana yang sewajarnya serta lesen dan bangunan. Sekiranya peluang-peluang ini boleh disediakan kepada mereka, mereka mungkin berjaya.

“Affirmative Action”

Oleh itu, saya memikirkan bahawa penyelesaiannya terletak kepada ‘affirmative action’ atau diskriminasi positif yang memihak kepada mereka. Saya diberitahu oleh mereka yang merangka Dasar Ekonomi Baru (pada ketika itu saya diketepikan dan telah disingkirkan daripada UMNO) bahawa mereka menggunakan Dilema Melayu untuk merangka ‘affirmative action’ untuk orang Melayu dan Bumiputera. Sama itu betul atau salah, tidaklah penting tetapi cadangan-cadangan mereka nampak agak sama dengan apa yang saya tulis.
Melaksanakan ‘affirmative action’ tidak semudah merangkanya. Modal, lesen dan permit, bangunan dan sebagainya disediakan dan kemudian kontrak serta pegangan diberikan kepada orang Melayu yang ada ciri-ciri untuk berjaya.

Kerajaan menubuhkan pelbagai agensi untuk mewakili orang Melayu bagi meningkatkan kemampuan mereka dalam meraih manfaat daripada ‘affirmative action’ DEB. Apabila idea penswastaan diperkenalkan adalah mudah untuk memberikan banyak peluang itu kepada orang Melayu.

Dalam pendidikan, kuota dan biasiswa diperkenalkan untuk memberikan peluang kepada mereka untuk memperoleh pengetahuan yang diperlukan bagi memastikan mereka terus maju ke depan.

Orang Melayu ketika itu dijangka akan merebut segala peluang yang ada itu. Pada awalnya, itulah yang mereka lakukan. Para pelajar biasiswa yang awal, belajar bersungguh-sungguh dan melayakkan diri mereka untuk bekerja terutamanya dengan kerajaan. Tetapi hari ini, sikap itu telah berubah. Mendapat biasiswa dan tempat ke universiti di dalam dan luar negara dianggap sebagai suatu hak dan tidak dihargai lagi. Malah mereka yang mendapat peluang pendidikan ini atas sebab-sebab yang tertentu tampak membenci mereka yang mencipta peluang-peluang ini.

Apa yang lebih buruk lagi, mereka tampak tidak menghargai peluang-peluang yang diperoleh. Mereka menjadi lebih berminat dalam hal-hal lain, politik terutamanya sehingga menjejaskan pengajian mereka.

Ali Baba

Dalam perniagaan, sebahagian besar mereka menganggap peluang-peluang yang diberikan kepada mereka sebagai sesuatu yang perlu dieksploitasi untuk mendapat keuntungan segera. Sejak awal lagi mereka menjual peluang itu untuk menjadi rakan lelap dalam apa yang dikenali sebagai Ali Baba, iaitu Ali mendapat lesen, permit, saham atau kontrak dan menjualnya kepada bukan Melayu terutamanya kaum Cina. Mereka tidak belajar apa-apa tentang perniagaan dan kemudian jadi tidak mampu untuk berniaga dan memperoleh pendapatan daripada aktiviti mereka. Mereka hanya menjadi rakan lelap dan ada kalanya bukan setakat itu saja. Selepas menjualnya, mereka tiada apa-apa urusan lagi dengan perniagaan itu.

Mereka akan menghadap kerajaan dan meminta lebih banyak lagi permit, lesen, saham dan sebagainya. Kita harus mengaku sesetengah daripada mereka serius dan sesetengahnya telah berjaya. Tetapi kumpulan majoriti tidak menyumbang apa-apa kepada sasaran DEB. Kuota 30 peratus DEB boleh dicapai sejak lama dulu sekiranya semua saham, lesen, kontrak dan sebagainya telah digunakan sepenuhnya oleh orang Melayu.
Kenapa ini tidak berlaku? Jawapannya ialah budaya orang Melayu. Mereka malas dan suka mengambil jalan mudah. Dan cara yang termudah ialah dengan menjual apa yang mereka ada dan meminta lagi. Ini budaya mereka. Kerja keras, mengambil risiko dan bersabar bukan sebahagian daripada budaya mereka.

Kita harus ingat bahawa pada zaman dulu orang Melayu tidak bersedia untuk mengisi kerja yang disediakan oleh penjajah yang mahu mengeksploitasi negara ini.

Oleh kerana itu orang Melayu tidak mahu bekerja di ladang-ladang getah dan lombong-lombong bijih timah, orang India dan Cina dibawa masuk. Pada satu masa, jumlah pendatang ini melebihi jumlah orang Melayu. Sekiranya mereka terus lebih ramai daripada orang Melayu, Malaya yang Merdeka mungkin sudah jadi seperti Singapura. Tetapi orang Melayu tidak belajar apa-apa daripada sejarah yang melihat mereka hampir hilang negara.

Hari ini mereka masih enggan bekerja dan pekerja asing sekali lagi membanjiri negara ini. Dan kerana mereka tidak melengkapkan diri dengan pendidikan dan kemahiran yang sewajarnya, mereka terus bergantung kepada orang lain.

Dominasi Politik

Dominasi politik akan melindungi mereka buat sementara waktu. Tetapi dominasi itu sedang terhakis dengan cepat apabila mereka bertelingkah sesama sendiri dan berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil yang tidak dapat berbuat apa-apa. Jumlah mereka yang besar sudah jadi tidak penting sama seperti ketika mula merdeka. Namun mereka tidak sedar atau sengaja tidak mahu sedar tentang hakikat ini. Sikap tidak apa telah membuaikan mereka untuk merasa berada dalam keadaan selamat tetapi sebenarnya tidak berasas.
Orang Melayu dan kaum bumiputera adalah 60 peratus daripada seluruh penduduk negara ini. Tetapi dari segi pengaruh politik, ia kurang sedikit daripada 60 peratus. Mereka sekarang lebih bergantung kepada sokongan orang bukan Melayu, baik parti kerajaan mahupun pembangkang.

Dari sudut ekonomi, sememangnya mereka mempunyai separuh daripada pegangan 30 peratus yang telah disediakan kepada mereka. Jika kita menolak sumbangan bukan Melayu kepada ekonomi negara, Malaysia mungkin tidak lebih baik daripada sesetengah negara Afrika yang membangun. Untuk berjaya, orang Melayu perlu mengubah budaya mereka. Mereka perlu melihat kerja sebagai sesuatu yang mendatangkan kepuasan.
Mereka mesti menganggap apa yang mereka capai hasil kerja itu sebagai satu ganjaran sebenar. Memang harus ada sedikit ganjaran kewangan tetapi ia tidak harus mengatasi kepuasan yang mereka dapat daripada kerja itu.

Mereka perlu mempunyai etika kerja termasuk berbangga dengan hasil kerja mereka dan bukan setakat ganjaran wang semata-mata. Kaum yang berbangga dengan kerja mereka dan hasilnya adalah mereka yang paling berjaya. Idea tentang kualiti jarang difahami oleh orang Melayu. Hasilnya ialah kerja yang kurang bermutu.

Tiada rasa bangga. Dan tanpa ini, tanpa keinginan untuk terus memperbaiki mutu, tidak akan ada kemajuan.

Perubahan sikap

Mengubah budaya jauh lebih susah daripada mengubah dasar kerajaan. Adalah lebih senang untuk mencadangkan affirmative action tetapi tidak mudah untuk melaksanakannya. Mereka yang menerimanya perlu mempunyai sikap yang betul sekiranya mahu mencapai hasil yang dikehendaki.

Apabila kita sedar bahawa mencipta peluang saja tidak cukup, tumpuan diberikan kepada mengubah sikap. Kursus dan syarahan diberikan tentang nilai dan budaya. Orang Melayu perlu diingatkan tentang bahaya yang menanti mereka. Mereka masih belum terlepas daripada bahaya.

Hari ini mereka boleh bergantung kepada tongkat Hak Keistimewaan Orang Melayu untuk melindungi mereka. Tetapi tongkat melemahkan orang yang memakainya. Untuk menjadi kuat dan mampu mempertahankan diri sendiri, tongkat itu mesti dilepaskan.

Malangnya pandangan mereka ialah tongkat itu simbol ketuanan mereka di negara ini. Apa yang menyedihkan ialah mereka tidak menggunakan tongkat itu dengan wajar. Akibatnya mereka tidak mendapat apa-apa atau hanya mendapat sedikit saja daripada bantuan-bantuan ini. Mereka akan terus lemah selagi terus bergantung kepada tongkat itu. Namun mereka mempunyai kemampuan untuk memperoleh kekuatan yang diperlukan yang akan membolehkan mereka melepaskan tongkat itu.

Apa yang diperlukan adalah untuk menukar persepsi yang salah dan mengubah budaya mereka. Sekiranya itu mereka lakukan, mereka tentu mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain.

Dilema baru

Jadi apa itu dilema baru Melayu? Dilema lama ialah sama ada mereka patut menukar sedikit gambaran untuk membantu diri sendiri. Dilema barunya pula ialah sama ada mereka perlu atau tidak membuang tongkat yang telah terbiasa mereka gunakan, yang sudah menjadi kebanggaan mereka.

Ada sekumpulan kecil orang Melayu yang cukup yakin tentang membuang tongkat itu secara perlahan-lahan. Tetapi mereka hanya kumpulan minoriti yang kecil. Jumlah mereka tidak akan meningkat dalam waktu yang terdekat. Mereka dianggap sebagai pembelot kaum Melayu.

Barangkali kerana saya terlatih sebagai doktor perubatan, saya ada pandangan yang lain tentang tongkat. Ada kalanya doktor menjangkakan tongkat akan dipakai seumur hidup. Tetapi hari ini doktor mampu membantu pesakit mereka berjalan secepat mungkin. Fisioterapi telah dimajukan menjadi sains yang memulihkan semula mereka yang tidak berdaya. Anggota palsu telah dikemaskan sehinggakan mereka yang tidak mempunyai kaki boleh berjalan dengan normal dan mereka tanpa tangan boleh memegang benda sama seperti rakan-rakan mereka yang bernasib baik.

Hari ini kita melihat mereka yang lahir tanpa tangan boleh melukis dan menulis dengan kaki. Apa yang dilakukan oleh mereka itu sama baik dengan orang lain yang lebih bernasib baik.

Kurangkan penggantungan bantuan

Ketabahan yang bersungguh-sungguh dan kerana terpaksa membolehkan mereka melakukannya. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mengurangkan penggantungan kepada bantuan dan mencapai kebanyakkan yang biasa.

Dikalangan orang Melayu, rasa kasihan begitu kuat. Mereka tidak mahu orang cacat mengatasi kecacatannya. Mereka lebih suka bersimpati dengan lantang dan secara terbuka. Kasihan adalah perkataan yang selalu kita ucapkan. Dan orang Melayu akan membantu orang cacat dengan melakukan sesuatu bagi pihak mereka. Mereka tidak mahu orang cacat mengatasi kecacatannya sendiri. Sudah tentu mereka tidak terfikir orang cacat sepatutnya menyara hidupnya sendiri dengan memperoleh sedikit kemahiran yang ada pasaran. Dengan mengasihani orang cacat, mereka mahu orang cacat terus bergantung kepada orang lain.
Tentu akan ada protes terhadap kenyataan umum tentang orang Melayu ini. Hampir setiap hari kita membaca tentang orang Melayu yang buta dan orang Melayu yang cacat lain-lain anggota lulus dari universiti atau memandu kereta atau melakukan apa saja kerja. Ini tidak membuktikannya kenyataan umum saya itu salah. Ada kekecualian.

Mereka itu membuktikan jika sikap atau budaya yang betul diamalkan, mereka yang cacat pun boleh berjaya. Saya telah melihat kesan terlalu bersimpati kepada orang cacat termasuk orang tua. Mereka menjadi lebih cacat dan lebih bergantung kepada orang lain.

Mereka tampak telah tenggelam dalam rasa kasihan itu. Dan mereka tidak akan mampu lagi megatasi kecacatan itu. Rasa murah hati itu sesuatu yang murni. Kita semua harus bermurah hati. Tetapi kita perlu menolong dengan rasa murah hati itu untuk menjadikan mereka yang cacat kurang bergantung kepada belas ihsan dan simpati.

Ini bukan sikap orang Melayu. Mereka suka menunjukkan rasa kasihan, terutama di hadapan orang itu sendiri. Ia merendahkan semangat dan menyekat pembangunan sikap yang positif dan usaha untuk pulih semula.

Sikap yang positif

Dengan sikap yang positif dan keazaman yang tinggi, orang cacat mampu memajukan diri dan menjadi hampir normal sedapat mungkin.

Dilema yang dihadapi oleh segelintir mereka yang mahu membina kaum Melayu yang kuat, tidak mudah patah semangat dan merdeka tanpa tongkat ialah mereka akan jadi tidak popular dan hilang kemampuan untuk mempengaruhi perubahan budaya dan sistem nilai yang diperlukan. Seolah-olahnya mereka jangan sekali mencuba tetapi mereka tahu tanpa perubahan, budaya orang Melayu akan gagal.

Tetapi bukan ini saja dilema yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang. Kemunculan parti Islam telah menyebabkan usaha membina ketahanan orang Melayu diketepikan oleh perintah yang kononnya bercorak keagamaan berbentuk Islam politik.

Orang Melayu kuat agamanya tetapi mereka tidak cukup pengetahuan tentang Islam untuk membezakan antara apa yang Islam dan tidak Islam. Ketaatan kepada agama sangat dipandang tinggi oleh orang Melayu tetapi mereka menyamakan warak itu dengan penampilan luaran dan bukannya ajaran sebenar al-Quran dan Hadis Nabi.

Persepsi yang mudah tentang agama itu membuka peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menggunakan agama bagi kepentingan sendiri.

Agama bukan tentang logik akal. Ia adalah soal kepercayaan, keimanan. Cuba berbahas atas logik dan masuk akal, ia tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Tidak kisah sama ada ia logik atau tidak, kalau ia adalah ajaran agama yang sebenar. Islam misalnya mengajar hanya perkara yang baik, nilai yang baik yang boleh menjamin umat Islam menjadi orang yang baik dan masyarakat yang stabil, ditadbir dengan baik dan maju.

Asas-asas Islam boleh membantu membina tamadun yang berjaya dan sihat. Inilah yang berlaku kepada bangsa Arab Jahiliah yang memeluk Islam 1,400 tahun lalu.

Suku-suku Arab yang liar dan bersengketa itu kemudiannya bersatu dan membangunkan satu tamadun Islam yang kekal sehingga 1300 tahun. Ia runtuh hanya setelah orang Islam menyimpang daripada ajaran sebenar dan kembali kepada cara Jahiliah sebelum kedatangan Islam.

Penyalahgunaan ajaran Islam

Di Malaysia hari ini, kita melihat penyalahgunaan ajaran Islam. Ahli-ahli politik yang kononnya Islam, dengan menggunakan Islam pada namanya dan dengan tanpa segan-silu menyalah tafsirkannya, telah mengambil kesempatan daripada kepercayaan mendalam orang Islam Melayu untuk memerangkap dan menutup minda mereka daripada semua perkara selain daripada apa yang diajar oleh ahli-ahli politik ini.

Sebagai contoh, adalah sesuatu yang biasa untuk orang berterima kasih atas apa yang mereka dapat. Di Malaysia, pembangunan yang dibawa oleh kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu selayaknya mendapat terima kasih dan sokongan orang Melayu.

Melihatkan ini, guru-guru agama dalam parti Islam itu telah mengajar para pengikut mereka yang terkurung termasuk kanak-kanak di tadika supaya tidak berterima kasih kepada orang yang telah memberikan mereka segala-galanya.

Mereka diajar dalam Islam tidak perlu berterima kasih kepada kerajaan yang membantu mereka. Mereka diajar bahawa itu adalah tugas kerajaan dan mana-mana kerajaan pun akan melakukannya.
Mereka hanya perlu bersyukur kepada Allah dan bukannya kepada kerajaan atas nikmat yang mereka peroleh itu.

Ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam tetapi itulah kepercayaan di kalangan pemimpin politik Islam ini dan tafsiran mereka tentang Islam sehinggakan mereka yang menerima bantuan kerajaan akan mencaci dan mengutuk kerajaan yang telah bermurah hati kepada mereka.

Sebaliknya pula, sebarang salah laku ahli-ahli politik yang kononya Islam ini, dibela atau dimaafkan atau tidak dipedulikan.

Oleh itu, pemimpin mereka boleh berkhalwat atau berkahwin di luar negeri, atau mencarut dan memaki-hamun dan mendakwa Allah juga mencarut dan memaki hamun, malah mendedahkan diri mereka kepada orang perempuan atau memecah belahkan masyarakat Islam Melayu dengan sembahyang berasingan, mengugut akan menceraikan isteri sekiranya isteri menolak perangai buruk mereka atau menyokong parti lain, menolak imam atas alasan politik dengan memulaukan orang kampung yang tidak menyokong mereka, tetapi para pemimpin mereka masih dianggap sebagai orang Islam yang baik yang perlu dipatuhi.

Demokrasi pilihan ramai

Demokrasi ialah tentang orang ramai memilih kerajaan untuk memerintah negara. Ada tanggapan bahawa masyarakat memilih orang yang baik, orang yang boleh membentuk kerajaan yang baik, memberikan mereka keperluan material dan spiritual, membangun dan mempertahankan negara daripada hegemoni asing.
Tetapi kadang kala majoriti masyarakat mungkin tidak dapat memilih dengan baik kerana otak mereka telah dibasuh sepenuhnya.

Di Malaysia, banyak orang Melayu yang pemikiran mereka telah dikawal melalui salah guna ajaran agama. Hari ini di Malaysia banyak orang Melayu yang tidak begitu memahami Islam telah diseleweng oleh pemimpin parti Islam yang kelihatan alaim dengan serban dan pakaian Arab.

Mereka mengikut dengan fanatik apa yang diajar oleh parti ini walaupun ia akan menjadikan negara ini porak peranda akibat amalan dan nilai yang bertentangan dengan ajaran Islam. Bukanlah sesuatu yang keterlaluan untuk mengatakan bagi kebanyakan orang Melayu, bahawa nilai Melayu dan Islam mereka telah musnah.

Begitu sekali menyelewengnya mereka daripada nilai Melayu dan Islam sehinggakan banyak orang Melayu sanggup mengundi dan menyokong sebuah parti yang menganjurkan dan mengajar keganasan, yang mencarut dan memaki hamun dan dipimpin oleh pemimpin yang tidak bermoral.

Kesan akhir daripada penyelewengan itu tentulah pemilihan sebuah kerajaan yang tidak baik dan terhentinya usaha-usaha bagi memastikan orang Melayu kekal berkuasa dari segi politik dan ekonomi seperti yang dicapai oleh kaum-kaum lain.

Malaysia komited
Malaysia komited dengan demokrasi. Kita bukan demokrat yang liberal, kita memegang teguh ciri-ciri penting demokrasi, hak untuk memilih kerajaan dengan mengundi parti yang kita rasa akan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Tetapi oleh kerana seperti apa yang saya katakan tadi tentang pemikiran yang dipengaruhi oleh parti yang kononnya Islam, ada bahaya parti yang silap dipilih membentuk kerajaan.

Kita telah lihat ini berlaku di banyak negara apabila parti popular yang menjanjikan bermacam-macam perkara yang mustahil telah dipilih oleh pengundi yang mudah terpedaya. Ini boleh berlaku kepada Malaysia. Tidak mustahil semua kemakmuran, kestabilan dan keharmonian antara kaum akan musnah.

Dilema yang dihadapi oleh orang Melayu dan masyarakat Malaysia ialah sama ada atas nama demokrasi kita harus benarkan negara ini dimusnahkan atau kita memastikan masyarakat tidak tunduk kepada manipulasi sehingga mereka akan menggunakan demokrasi untuk meruntuhkan demokrasi. Kita harus ingat bahawa negara yang paling demokratik begitu berhati-hati tentang kemungkinan ini. Banyak demokrasi yang dianggap liberal tidak membenarkan komunis dan fasis mengambil bahagian dalam pilihan raya. Mereka melakukan ini kerana percaya sekiranya parti-parti ini menang dalam sebuah pilihan raya yang demokrasi, mereka akan menamatkan demokrasi.

Bolehkah kita mengambil pengajaran daripada mereka dan mengambil risiko dikutuk kerana tidak demokratik?

Dilema kedua
Itulah dilema kedua yang dihadapi oleh negara dan terutamanya orang Melayu. Ancaman kepada orang Melayu ialah pembangunan dan keperkasaan mereka akan terbantut sehingga mereka tidak akan lagi mampu dari segi ekonomi dan juga politik.

Keperkasaan merela sekarang akan lenyap. Dan mereka akan seba kekurangan di negara sendiri. Saudara-saudara telah meminta saya untuk bercakap tentang Dilema Baru Melayu. Seperti yang dapat saudara-saudara lihat, saya telah mengenalpasti bukan satu tetapi dua dilema baru Melayu.

Saya serahkan kepada saudara-saudara semua untuk memahami pandangan ini dan saya berharap dengan mengenal pasti penyakit-penyakit itu kita boleh membantu merawatnya.

23 Ogos 2002, Petaling Jaya

Comments

Popular posts from this blog

Tunku Abdul Rahman speech at the 1st Muslim Summit 1969

RUKUN NEGARA (ENGLISH)

Bersedia untuk gempa bumi