ANTARA JATI DIRI DAN NEGARA MAJU


Seronok bila sebut Negara Maju. Macam best. Tak dapat nak bayangkan bagaimana kehidupan kita nanti apabila Malaysia sudah mencapai status negara maju pada tahun 2020 nanti kan...

Untuk mencapai Wawasan 2020 hanya tinggal lebih kurang 6 tahun lagi. Ramai yang mengatakan bahawa kita mampu mencapainya malah mungkin lebih awal iaitu pada tahun 2018. Mungkinkah demikian?

Ramai pemikir dan penyelidik berpendapat bahawa Malaysia mampu mencapai negara maju dari segi ekonomi berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang mapan dalam 10 tahun kebelakangan ini. Walaupun dalam suasana ekonomi dunia yang lembab, Malaysia masih mampu mengalami pertumbuhan walaupun kecil. Pertumbuhan ekonomi Malaysia dibantu oleh penggunaan domestik yang giat serta pelaburan sektor swasta, disamping Pelaburan Langsung Asing (FDI). Walaupun kita sememangnya berhempas pulas untuk mengekalkan tahap pertumbuhan ekonomi, namun kita berjaya. Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri dan kumpulan ekonominya.

Sebagai sebuah negara maju (nanti) semestinya aplikasi sains dan teknologi menjadi keutamaan dalam semua sektor. Hal ini tidak menjadi masalah yang besar kerana ia menjadi polisi Kerajaan membentuk negara yang progresif dengan mengoptimakan penggunaan sains dan teknologi secara menyeluruh.

Namun begitu, Wawasan 2020 telah menggariskan 9 matlamat/cabaran; pencapaian ekonomi dan penggunaan sains dan teknologi hanya dua daripada 9 matlamat tersebut.

Isu yang meruncing ialah bagaimana hendak membentuk masyarakat Malaysia yang harmoni, masyarakat penyayang yang berjiwa bebas dan maju, serta mengamalkan nilai-nilai ketamadunan yang tinggi.

Walaupun rakyat Malaysia hidup dalam keamanan dan bersatu namun sejauh mana perpaduan yang terbentuk? Malah rakyat Malaysia sekarang sudah memiliki pemikiran yang maju, proaktif, matang dan bebas, tetapi persoalannya ialah bagaimana dengan jati diri?

Jati diri ialah sikap untuk mengekalkan identiti kepercayaan, bahasa, budaya, adat  dan tata susila sebagai suatu yang menjadi kebanggaannya. Kerana, hanya jati diri mampu mengangkat kewibawaan sesebuah bangsa dan negara. Kita perlu cermin diri, sejauh mana jati diri yang kita miliki? Adakah kita kini mempunyai jati diri sebagai seorang Islam, Melayu dan orang Timur, atau kita orang timur yang berjati diri Barat?

Negara yang rakyatnya mempunyai jati diri yang tinggi akan mempunyai jiwa yang kental dan semangat patriotik yang tinggi. Oleh yang demikian, apa sahaja anasir luar yang cuba menggugat kedaulatan negara dapat ditempis. Negara dan bangsa juga akan dipandang tinggi.

Dalam menentukan hala tuju Malaysia sebagai negara maju, elemen jati diri harus diperjuangkan bersama. Kita tidak mahu apabila kita mencapai negara maju, tapi masyarakat sudah hilang identiti bangsa dan budayanya. Tatasusila sudah tidak menjadi perkara yang dititikberatkan. Agama sudah diliberalkan. Yang berbudi tidak lagi dihargai. Inikah yang kita mahu apabila menjelang tahun 2020, negara telah diiktiraf sebagai negara maju namun rakyatnya sudah hilang identiti negara bangsanya.


Jadi, berjuanglah...kerana Maju bangsa, Majulah Negara!

Comments

Popular posts from this blog

Tunku Abdul Rahman speech at the 1st Muslim Summit 1969

RUKUN NEGARA (ENGLISH)

Bersedia untuk gempa bumi