Ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad, 23 Ogos 2002
"Jadi apa itu dilema baru Melayu? Dilema lama ialah sama ada mereka patut menukar sedikit gambaran untuk membantu diri sendiri. Dilema barunya pula ialah sama ada mereka perlu atau tidak membuang tongkat yang telah terbiasa mereka gunakan, yang sudah menjadi kebanggaan mereka".
DILEMA BARU MELAYU
Orang Melayu adalah
antara beberapa kaum di dunia ini yang ditaktifkan dengan jelas oleh
undang-undang. Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa orang Melayu itu
ialah mereka yang bertutur bahasa Melayu, menganut agama Islama dan mengamalkan
adat resam Melayu. Takrifan itu tidak langsung menyebut tentang apa itu adat
resam Melayu. Oleh itu, perubahan budaya tidak menjadikan seorang Melayu itu
bukan Melayu.
Budaya
Budaya merupakan
sistem nilai yang secara umumnya diterima walaupun mungkin tidak diamalkan oleh
sesebuah masyarakat atau sesuatu kaum. Pemerhatian menunjukkan bahawa budaya
sesebuah masyarakat itu menentukan sama ada ia berjaya atau gagal. Bangsa atau
kaum, warna kulit atau tempat tinggal baik di kawasan yang cuacanya sederhana
atau beriklim tropika, bukanlah faktor-faktor yang menentukan prestasi sesuatu
msyarakat.
Oleh itu, ada orang
Eropah yang gagal membangun walaupun secara umumnya bangsa Eropah dianggap
berjaya dan maju. Seseorang tidak harus lupa bahawa ketika Zaman Pertengahan,
orang Eropah jauh ketinggalan dibandingkan dengan orang Islam Arab yang membina
Tamadun Agung Islam. Begitu juga, banyak kaum di Asia yang telah berjaya pada
masa dulu dan juga sekarang, manakala sesetengahnya terus mundur dan primitif.
Malah orang Afrika
juga pernah berjaya seperti orang Habsyi walaupun kebanyakkan mereka gagal
membangun.
Faktor Bangsa atau Kaum?
Orang Eropah, Asia,
Afrika dan orang Amerindia semuanya boleh berjaya dan boleh juga gagal. Oleh
itu, bukan faktor bangsa atau kaum yang menentukan kejayaan tetapi budaya.
Bangsa Eropah yang paling agung dalam sejarah ialah Portugis dan Sepanyol. Hari
ini mereka ketinggalan berbanding bangsa Eropah yang lain. Seperti yang saya
katakan tadi, bukan bangsa atau kaum tetapi budaya yang menentukan prestasi
sesuatu kaum atau masyarakat iaitu sistem nilai yang mereka yakini dan pegang
pada sesuatu masa.
Semasa saya menulis
buku Dilema Melayu pada akhir tahun 1960-an, saya membuat andaian bahawa semua
orang Melayu tidak mendapat peluang untuk membangun dan berjaya. Mereka kurang
peluang untuk membangun dan berjaya. Mereka kurang peluang untuk mendidik diri
sendiri, peluang untuk berlatih dalam bidang yang diperlukan, peluang untuk
mendapat dana yang sewajarnya serta lesen dan bangunan. Sekiranya
peluang-peluang ini boleh disediakan kepada mereka, mereka mungkin berjaya.
“Affirmative Action”
Oleh itu, saya
memikirkan bahawa penyelesaiannya terletak kepada ‘affirmative action’ atau
diskriminasi positif yang memihak kepada mereka. Saya diberitahu oleh mereka
yang merangka Dasar Ekonomi Baru (pada ketika itu saya diketepikan dan telah
disingkirkan daripada UMNO) bahawa mereka menggunakan Dilema Melayu untuk
merangka ‘affirmative action’ untuk orang Melayu dan Bumiputera. Sama itu betul
atau salah, tidaklah penting tetapi cadangan-cadangan mereka nampak agak sama
dengan apa yang saya tulis.
Melaksanakan
‘affirmative action’ tidak semudah merangkanya. Modal, lesen dan permit,
bangunan dan sebagainya disediakan dan kemudian kontrak serta pegangan
diberikan kepada orang Melayu yang ada ciri-ciri untuk berjaya.
Kerajaan menubuhkan
pelbagai agensi untuk mewakili orang Melayu bagi meningkatkan kemampuan mereka
dalam meraih manfaat daripada ‘affirmative action’ DEB. Apabila idea
penswastaan diperkenalkan adalah mudah untuk memberikan banyak peluang itu
kepada orang Melayu.
Dalam pendidikan,
kuota dan biasiswa diperkenalkan untuk memberikan peluang kepada mereka untuk
memperoleh pengetahuan yang diperlukan bagi memastikan mereka terus maju ke
depan.
Orang Melayu ketika
itu dijangka akan merebut segala peluang yang ada itu. Pada awalnya, itulah
yang mereka lakukan. Para pelajar biasiswa yang awal, belajar
bersungguh-sungguh dan melayakkan diri mereka untuk bekerja terutamanya dengan
kerajaan. Tetapi hari ini, sikap itu telah berubah. Mendapat biasiswa dan
tempat ke universiti di dalam dan luar negara dianggap sebagai suatu hak dan
tidak dihargai lagi. Malah mereka yang mendapat peluang pendidikan ini atas
sebab-sebab yang tertentu tampak membenci mereka yang mencipta peluang-peluang
ini.
Apa yang lebih buruk
lagi, mereka tampak tidak menghargai peluang-peluang yang diperoleh. Mereka
menjadi lebih berminat dalam hal-hal lain, politik terutamanya sehingga
menjejaskan pengajian mereka.
Ali Baba
Dalam perniagaan,
sebahagian besar mereka menganggap peluang-peluang yang diberikan kepada mereka
sebagai sesuatu yang perlu dieksploitasi untuk mendapat keuntungan segera.
Sejak awal lagi mereka menjual peluang itu untuk menjadi rakan lelap dalam apa
yang dikenali sebagai Ali Baba, iaitu Ali mendapat lesen, permit, saham atau
kontrak dan menjualnya kepada bukan Melayu terutamanya kaum Cina. Mereka tidak
belajar apa-apa tentang perniagaan dan kemudian jadi tidak mampu untuk berniaga
dan memperoleh pendapatan daripada aktiviti mereka. Mereka hanya menjadi rakan
lelap dan ada kalanya bukan setakat itu saja. Selepas menjualnya, mereka tiada
apa-apa urusan lagi dengan perniagaan itu.
Mereka akan menghadap
kerajaan dan meminta lebih banyak lagi permit, lesen, saham dan sebagainya.
Kita harus mengaku sesetengah daripada mereka serius dan sesetengahnya telah
berjaya. Tetapi kumpulan majoriti tidak menyumbang apa-apa kepada sasaran DEB.
Kuota 30 peratus DEB boleh dicapai sejak lama dulu sekiranya semua saham,
lesen, kontrak dan sebagainya telah digunakan sepenuhnya oleh orang Melayu.
Kenapa ini tidak
berlaku? Jawapannya ialah budaya orang Melayu. Mereka malas dan suka mengambil
jalan mudah. Dan cara yang termudah ialah dengan menjual apa yang mereka ada
dan meminta lagi. Ini budaya mereka. Kerja keras, mengambil risiko dan bersabar
bukan sebahagian daripada budaya mereka.
Kita harus ingat
bahawa pada zaman dulu orang Melayu tidak bersedia untuk mengisi kerja yang
disediakan oleh penjajah yang mahu mengeksploitasi negara ini.
Oleh kerana itu orang
Melayu tidak mahu bekerja di ladang-ladang getah dan lombong-lombong bijih
timah, orang India dan Cina dibawa masuk. Pada satu masa, jumlah pendatang ini
melebihi jumlah orang Melayu. Sekiranya mereka terus lebih ramai daripada orang
Melayu, Malaya yang Merdeka mungkin sudah jadi seperti Singapura. Tetapi orang
Melayu tidak belajar apa-apa daripada sejarah yang melihat mereka hampir hilang
negara.
Hari ini mereka masih
enggan bekerja dan pekerja asing sekali lagi membanjiri negara ini. Dan kerana
mereka tidak melengkapkan diri dengan pendidikan dan kemahiran yang sewajarnya,
mereka terus bergantung kepada orang lain.
Dominasi Politik
Dominasi politik akan
melindungi mereka buat sementara waktu. Tetapi dominasi itu sedang terhakis
dengan cepat apabila mereka bertelingkah sesama sendiri dan berpecah kepada
kumpulan-kumpulan kecil yang tidak dapat berbuat apa-apa. Jumlah mereka yang
besar sudah jadi tidak penting sama seperti ketika mula merdeka. Namun mereka
tidak sedar atau sengaja tidak mahu sedar tentang hakikat ini. Sikap tidak apa
telah membuaikan mereka untuk merasa berada dalam keadaan selamat tetapi
sebenarnya tidak berasas.
Orang Melayu dan kaum
bumiputera adalah 60 peratus daripada seluruh penduduk negara ini. Tetapi dari
segi pengaruh politik, ia kurang sedikit daripada 60 peratus. Mereka sekarang
lebih bergantung kepada sokongan orang bukan Melayu, baik parti kerajaan
mahupun pembangkang.
Dari sudut ekonomi,
sememangnya mereka mempunyai separuh daripada pegangan 30 peratus yang telah
disediakan kepada mereka. Jika kita menolak sumbangan bukan Melayu kepada
ekonomi negara, Malaysia mungkin tidak lebih baik daripada sesetengah negara Afrika yang membangun. Untuk berjaya, orang Melayu perlu mengubah budaya
mereka. Mereka perlu melihat kerja sebagai sesuatu yang mendatangkan kepuasan.
Mereka mesti
menganggap apa yang mereka capai hasil kerja itu sebagai satu ganjaran sebenar.
Memang harus ada sedikit ganjaran kewangan tetapi ia tidak harus mengatasi
kepuasan yang mereka dapat daripada kerja itu.
Mereka perlu mempunyai
etika kerja termasuk berbangga dengan hasil kerja mereka dan bukan setakat
ganjaran wang semata-mata. Kaum yang berbangga dengan kerja mereka dan hasilnya
adalah mereka yang paling berjaya. Idea tentang kualiti jarang difahami oleh
orang Melayu. Hasilnya ialah kerja yang kurang bermutu.
Tiada rasa bangga. Dan
tanpa ini, tanpa keinginan untuk terus memperbaiki mutu, tidak akan ada
kemajuan.
Perubahan sikap
Mengubah budaya jauh
lebih susah daripada mengubah dasar kerajaan. Adalah lebih senang untuk
mencadangkan affirmative action tetapi tidak mudah untuk melaksanakannya.
Mereka yang menerimanya perlu mempunyai sikap yang betul sekiranya mahu
mencapai hasil yang dikehendaki.
Apabila kita sedar
bahawa mencipta peluang saja tidak cukup, tumpuan diberikan kepada mengubah
sikap. Kursus dan syarahan diberikan tentang nilai dan budaya. Orang Melayu
perlu diingatkan tentang bahaya yang menanti mereka. Mereka masih belum
terlepas daripada bahaya.
Hari ini mereka boleh
bergantung kepada tongkat Hak Keistimewaan Orang Melayu untuk melindungi
mereka. Tetapi tongkat melemahkan orang yang memakainya. Untuk menjadi kuat dan
mampu mempertahankan diri sendiri, tongkat itu mesti dilepaskan.
Malangnya pandangan
mereka ialah tongkat itu simbol ketuanan mereka di negara ini. Apa yang
menyedihkan ialah mereka tidak menggunakan tongkat itu dengan wajar. Akibatnya
mereka tidak mendapat apa-apa atau hanya mendapat sedikit saja daripada
bantuan-bantuan ini. Mereka akan terus lemah selagi terus bergantung kepada
tongkat itu. Namun mereka mempunyai kemampuan untuk memperoleh kekuatan yang
diperlukan yang akan membolehkan mereka melepaskan tongkat itu.
Apa yang diperlukan
adalah untuk menukar persepsi yang salah dan mengubah budaya mereka. Sekiranya
itu mereka lakukan, mereka tentu mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah dengan orang lain.
Dilema baru
Jadi apa itu dilema
baru Melayu? Dilema lama ialah sama ada mereka patut menukar sedikit gambaran
untuk membantu diri sendiri. Dilema barunya pula ialah sama ada mereka perlu
atau tidak membuang tongkat yang telah terbiasa mereka gunakan, yang sudah
menjadi kebanggaan mereka.
Ada sekumpulan kecil
orang Melayu yang cukup yakin tentang membuang tongkat itu secara
perlahan-lahan. Tetapi mereka hanya kumpulan minoriti yang kecil. Jumlah mereka
tidak akan meningkat dalam waktu yang terdekat. Mereka dianggap sebagai
pembelot kaum Melayu.
Barangkali kerana saya
terlatih sebagai doktor perubatan, saya ada pandangan yang lain tentang tongkat.
Ada kalanya doktor menjangkakan tongkat akan dipakai seumur hidup. Tetapi hari
ini doktor mampu membantu pesakit mereka berjalan secepat mungkin. Fisioterapi
telah dimajukan menjadi sains yang memulihkan semula mereka yang tidak berdaya.
Anggota palsu telah dikemaskan sehinggakan mereka yang tidak mempunyai kaki
boleh berjalan dengan normal dan mereka tanpa tangan boleh memegang benda sama
seperti rakan-rakan mereka yang bernasib baik.
Hari ini kita melihat
mereka yang lahir tanpa tangan boleh melukis dan menulis dengan kaki. Apa yang
dilakukan oleh mereka itu sama baik dengan orang lain yang lebih bernasib baik.
Kurangkan penggantungan bantuan
Ketabahan yang
bersungguh-sungguh dan kerana terpaksa membolehkan mereka melakukannya.
Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mengurangkan penggantungan kepada bantuan
dan mencapai kebanyakkan yang biasa.
Dikalangan orang
Melayu, rasa kasihan begitu kuat. Mereka tidak mahu orang cacat mengatasi
kecacatannya. Mereka lebih suka bersimpati dengan lantang dan secara terbuka.
Kasihan adalah perkataan yang selalu kita ucapkan. Dan orang Melayu akan
membantu orang cacat dengan melakukan sesuatu bagi pihak mereka. Mereka tidak
mahu orang cacat mengatasi kecacatannya sendiri. Sudah tentu mereka tidak
terfikir orang cacat sepatutnya menyara hidupnya sendiri dengan memperoleh
sedikit kemahiran yang ada pasaran. Dengan mengasihani orang cacat, mereka mahu
orang cacat terus bergantung kepada orang lain.
Tentu akan ada protes
terhadap kenyataan umum tentang orang Melayu ini. Hampir setiap hari kita
membaca tentang orang Melayu yang buta dan orang Melayu yang cacat lain-lain
anggota lulus dari universiti atau memandu kereta atau melakukan apa saja
kerja. Ini tidak membuktikannya kenyataan umum saya itu salah. Ada kekecualian.
Mereka itu membuktikan
jika sikap atau budaya yang betul diamalkan, mereka yang cacat pun boleh
berjaya. Saya telah melihat kesan terlalu bersimpati kepada orang cacat
termasuk orang tua. Mereka menjadi lebih cacat dan lebih bergantung kepada
orang lain.
Mereka tampak telah
tenggelam dalam rasa kasihan itu. Dan mereka tidak akan mampu lagi megatasi
kecacatan itu. Rasa murah hati itu sesuatu yang murni. Kita semua harus
bermurah hati. Tetapi kita perlu menolong dengan rasa murah hati itu untuk
menjadikan mereka yang cacat kurang bergantung kepada belas ihsan dan simpati.
Ini bukan sikap orang
Melayu. Mereka suka menunjukkan rasa kasihan, terutama di hadapan orang itu
sendiri. Ia merendahkan semangat dan menyekat pembangunan sikap yang positif
dan usaha untuk pulih semula.
Sikap yang positif
Dengan sikap yang
positif dan keazaman yang tinggi, orang cacat mampu memajukan diri dan menjadi
hampir normal sedapat mungkin.
Dilema yang dihadapi
oleh segelintir mereka yang mahu membina kaum Melayu yang kuat, tidak mudah
patah semangat dan merdeka tanpa tongkat ialah mereka akan jadi tidak popular
dan hilang kemampuan untuk mempengaruhi perubahan budaya dan sistem nilai yang
diperlukan. Seolah-olahnya mereka jangan sekali mencuba tetapi mereka tahu
tanpa perubahan, budaya orang Melayu akan gagal.
Tetapi bukan ini saja
dilema yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang. Kemunculan parti Islam telah
menyebabkan usaha membina ketahanan orang Melayu diketepikan oleh perintah yang
kononnya bercorak keagamaan berbentuk Islam politik.
Orang Melayu kuat
agamanya tetapi mereka tidak cukup pengetahuan tentang Islam untuk membezakan
antara apa yang Islam dan tidak Islam. Ketaatan kepada agama sangat dipandang
tinggi oleh orang Melayu tetapi mereka menyamakan warak itu dengan penampilan
luaran dan bukannya ajaran sebenar al-Quran dan Hadis Nabi.
Persepsi yang mudah
tentang agama itu membuka peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab
untuk menggunakan agama bagi kepentingan sendiri.
Agama bukan tentang
logik akal. Ia adalah soal kepercayaan, keimanan. Cuba berbahas atas logik dan
masuk akal, ia tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Tidak kisah sama ada
ia logik atau tidak, kalau ia adalah ajaran agama yang sebenar. Islam misalnya
mengajar hanya perkara yang baik, nilai yang baik yang boleh menjamin umat
Islam menjadi orang yang baik dan masyarakat yang stabil, ditadbir dengan baik
dan maju.
Asas-asas Islam boleh
membantu membina tamadun yang berjaya dan sihat. Inilah yang berlaku kepada
bangsa Arab Jahiliah yang memeluk Islam 1,400 tahun lalu.
Suku-suku Arab yang
liar dan bersengketa itu kemudiannya bersatu dan membangunkan satu tamadun
Islam yang kekal sehingga 1300 tahun. Ia runtuh hanya setelah orang Islam
menyimpang daripada ajaran sebenar dan kembali kepada cara Jahiliah sebelum
kedatangan Islam.
Penyalahgunaan ajaran Islam
Di Malaysia hari ini,
kita melihat penyalahgunaan ajaran Islam. Ahli-ahli politik yang kononnya
Islam, dengan menggunakan Islam pada namanya dan dengan tanpa segan-silu
menyalah tafsirkannya, telah mengambil kesempatan daripada kepercayaan mendalam
orang Islam Melayu untuk memerangkap dan menutup minda mereka daripada semua
perkara selain daripada apa yang diajar oleh ahli-ahli politik ini.
Sebagai contoh, adalah
sesuatu yang biasa untuk orang berterima kasih atas apa yang mereka dapat. Di
Malaysia, pembangunan yang dibawa oleh kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu
selayaknya mendapat terima kasih dan sokongan orang Melayu.
Melihatkan ini,
guru-guru agama dalam parti Islam itu telah mengajar para pengikut mereka yang terkurung
termasuk kanak-kanak di tadika supaya tidak berterima kasih kepada orang yang
telah memberikan mereka segala-galanya.
Mereka diajar dalam
Islam tidak perlu berterima kasih kepada kerajaan yang membantu mereka. Mereka
diajar bahawa itu adalah tugas kerajaan dan mana-mana kerajaan pun akan
melakukannya.
Mereka hanya perlu
bersyukur kepada Allah dan bukannya kepada kerajaan atas nikmat yang mereka
peroleh itu.
Ini jelas bertentangan
dengan ajaran Islam tetapi itulah kepercayaan di kalangan pemimpin politik
Islam ini dan tafsiran mereka tentang Islam sehinggakan mereka yang menerima
bantuan kerajaan akan mencaci dan mengutuk kerajaan yang telah bermurah hati
kepada mereka.
Sebaliknya pula,
sebarang salah laku ahli-ahli politik yang kononya Islam ini, dibela atau
dimaafkan atau tidak dipedulikan.
Oleh itu, pemimpin
mereka boleh berkhalwat atau berkahwin di luar negeri, atau mencarut dan
memaki-hamun dan mendakwa Allah juga mencarut dan memaki hamun, malah
mendedahkan diri mereka kepada orang perempuan atau memecah belahkan masyarakat
Islam Melayu dengan sembahyang berasingan, mengugut akan menceraikan isteri
sekiranya isteri menolak perangai buruk mereka atau menyokong parti lain,
menolak imam atas alasan politik dengan memulaukan orang kampung yang tidak menyokong
mereka, tetapi para pemimpin mereka masih dianggap sebagai orang Islam yang
baik yang perlu dipatuhi.
Demokrasi pilihan ramai
Demokrasi ialah
tentang orang ramai memilih kerajaan untuk memerintah negara. Ada tanggapan
bahawa masyarakat memilih orang yang baik, orang yang boleh membentuk kerajaan
yang baik, memberikan mereka keperluan material dan spiritual, membangun dan
mempertahankan negara daripada hegemoni asing.
Tetapi kadang kala
majoriti masyarakat mungkin tidak dapat memilih dengan baik kerana otak mereka
telah dibasuh sepenuhnya.
Di Malaysia, banyak
orang Melayu yang pemikiran mereka telah dikawal melalui salah guna ajaran
agama. Hari ini di Malaysia banyak orang Melayu yang tidak begitu memahami
Islam telah diseleweng oleh pemimpin parti Islam yang kelihatan alaim dengan
serban dan pakaian Arab.
Mereka mengikut dengan
fanatik apa yang diajar oleh parti ini walaupun ia akan menjadikan negara ini porak
peranda akibat amalan dan nilai yang bertentangan dengan ajaran Islam. Bukanlah sesuatu yang
keterlaluan untuk mengatakan bagi kebanyakan orang Melayu, bahawa nilai Melayu
dan Islam mereka telah musnah.
Begitu sekali
menyelewengnya mereka daripada nilai Melayu dan Islam sehinggakan banyak orang
Melayu sanggup mengundi dan menyokong sebuah parti yang menganjurkan dan
mengajar keganasan, yang mencarut dan memaki hamun dan dipimpin oleh pemimpin
yang tidak bermoral.
Kesan akhir daripada
penyelewengan itu tentulah pemilihan sebuah kerajaan yang tidak baik dan
terhentinya usaha-usaha bagi memastikan orang Melayu kekal berkuasa dari segi
politik dan ekonomi seperti yang dicapai oleh kaum-kaum lain.
Malaysia komited
Malaysia komited
dengan demokrasi. Kita bukan demokrat yang liberal, kita memegang teguh
ciri-ciri penting demokrasi, hak untuk memilih kerajaan dengan mengundi parti
yang kita rasa akan memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Tetapi oleh kerana
seperti apa yang saya katakan tadi tentang pemikiran yang dipengaruhi oleh
parti yang kononnya Islam, ada bahaya parti yang silap dipilih membentuk
kerajaan.
Kita telah lihat ini
berlaku di banyak negara apabila parti popular yang menjanjikan bermacam-macam
perkara yang mustahil telah dipilih oleh pengundi yang mudah terpedaya. Ini
boleh berlaku kepada Malaysia. Tidak mustahil semua kemakmuran, kestabilan dan
keharmonian antara kaum akan musnah.
Dilema yang dihadapi
oleh orang Melayu dan masyarakat Malaysia ialah sama ada atas nama demokrasi
kita harus benarkan negara ini dimusnahkan atau kita memastikan masyarakat
tidak tunduk kepada manipulasi sehingga mereka akan menggunakan demokrasi untuk
meruntuhkan demokrasi. Kita harus ingat bahawa negara yang paling demokratik
begitu berhati-hati tentang kemungkinan ini. Banyak demokrasi yang dianggap
liberal tidak membenarkan komunis dan fasis mengambil bahagian dalam pilihan
raya. Mereka melakukan ini kerana percaya sekiranya parti-parti ini menang dalam sebuah pilihan raya yang demokrasi, mereka akan menamatkan demokrasi.
Bolehkah kita mengambil
pengajaran daripada mereka dan mengambil risiko dikutuk kerana tidak
demokratik?
Dilema kedua
Itulah dilema kedua
yang dihadapi oleh negara dan terutamanya orang Melayu. Ancaman kepada orang
Melayu ialah pembangunan dan keperkasaan mereka akan terbantut sehingga mereka
tidak akan lagi mampu dari segi ekonomi dan juga politik.
Keperkasaan merela
sekarang akan lenyap. Dan mereka akan seba kekurangan di negara sendiri.
Saudara-saudara telah meminta saya untuk bercakap tentang Dilema Baru Melayu.
Seperti yang dapat saudara-saudara lihat, saya telah mengenalpasti bukan satu
tetapi dua dilema baru Melayu.
Saya serahkan kepada
saudara-saudara semua untuk memahami pandangan ini dan saya berharap dengan
mengenal pasti penyakit-penyakit itu kita boleh membantu merawatnya.
23 Ogos 2002, Petaling Jaya
Comments
Post a Comment